20130513

#Perempuan 1

Di satu taman permainan yang sepi, dihadapan tasik buatan yang beralun perlahan, terperonyok satu tubuh manusia. Perempuan. Matanya dibuang ke tasik buatan itu. Tajam tapi kosong. Sekosong hatinya. Lelah merenung, perempuan itu mengeluh berat. Seberat mindanya.

'Apa adanya aku ini? Sentiasa berangan, sentiasa ingin menjadi seperti orang-orang biasa tapi rupanya tiada apa-apa.'

Taman yang awalnya sepi mula bingit dengan gelak tawa kanak-kanak yang sedang berbahagia di 'syurga' mereka ini. Terungkit senyuman di bibir Izni melihat keleteh kanak-kanak ini berkejaran dan berhilai tawa. Indahnya hidup mereka. Gembira bila suka, menangis bila duka. Tapi diri sendiri, keliru bila suka dan bilanya duka. Bila perlunya ketawa dan bila perlunya meratap hiba. Izni beralih pula ke langit yang membiru.

'Tuhanku, kuatlah hati rapuhku ini. Jahitlah lukaku ini. Salutlah tompokan burukku ini. Tuhanku, apakah hikmah yang Engkau mahu beri? Aku terpunduk keliru Tuhanku. Aku cuma ingin satu. Tuhanku, berdampinglah denganku pada setiap masa agar aku mampu bertongkat pada-MU dan akhirnya mampu untuk berlari lagi. Tuhanku...' 

No comments: